Ucapan Dasar
Yang Dipertua Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis
Sesi 2001/200
1.0 MUQADDIMAH
الحمد لله الدى نحمده ونستعينه ونستغفروه ونتوب اليه , ونعود بالله
من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا , من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلآ هادى
له….
“وأعدوا لهم ماستطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدوالله وعدوكم وءاخرين من
دونهم لا تعلمونهم الله يعلمهم….”
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala
jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang siap
siaga sehingga mampu menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh
yang lain yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya ”. ( Surah
Al Anfal 60 )
Ikhwah dan Akhawat sidang hadirin sekalian
Pada hari yang penuh barakah ini, kita ditemukan oleh Allah swt dalam Hari Ucap
Tema bagi sesi 2001/2002.Sesungguhnya pertemuan pada hari ini menyingkap kembali
pengorbanan yang besar yang dipamerkan oleh tiga beranak Ibrahim a.s, Siti Hajar
dan Ismail a.s yang begitu bererti bagi mereka yang terus mengunjurkan prestasi
ubudiyahnya ke arah kecermelangan hakiki.
Betapa Hari Ucap Tema pada kali ini dilangsungkan dengan iringan kesayuan dan
rintihan ummah yang menagih simpati, sepertimana di Afghanistan, Palestin dan
Chechnya yang menuntutut kepada ummah untuk bangun mempertahankan Islam
tercinta.Ternyata situasi ini begitu menggamit sepenuh kesedaran dan perhatian
kita selaku teras generasi untuk mempertingkatkan kematangan dalam menangani
semua perkara itu secara bijak dan teliti.
Kita telah sama-sama cuba merealisasikan tema “ IZZAH MEMIMPIN WEHDAH ”
sepanjang sesi 2000/2001.Jelas masih ada agenda yang perlu untuk dilunaskan
sebagai rantai kesinambungan pada tugu thabat yang didirikan.Kita akur masih
terlalu banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dan masih ada kesumat yang
memungkinkan terhijabnya Rahmat Allah swt.
Justeru, kekangan, halangan dan rintangan akan cuba kita telusi bersama bagi
mengembalikan kegilangan yang kian sepi mutakhir kini kepada umat Islam.
2.0 TARBIAH ASAS KEKUATAN
Sebagai sebuah organisasi yang bukan hanya menekankan aspek kebajikan kepada
ahli, malah memainkan peranan dalam usaha dakwah kepada seluruh ahli, begitu
memerlukan sebuah perancangan tarbiah yang benar-benar berkesan.Apabila wujudnya
suatu sistem tarbiah yang tersusun dan kreatif dari sudut perlaksanaanya,
matlamat untuk melahirkan para ahli yang terdidik dengan keperibadian mulia,
insyaAllah mampu dicapai.Kekuatan dari sudut tarbiah akan melahirkan ahli yang
bertanggungjawab dan memberikan komitmen yang jitu kepada persatuan.
Sebaliknya, kegagalan dalam melaksanakan manhaj tarbiah yang berkesan akan
mewujudkan kepincangan di semua peringkat. Ketandusan tarbiah di kalangan ahli
akan memberi kesan dari sudut pengemblengan tenaga, lantaran itu tidak ramai
yang akan benar-benar mampu bekerja untuk persatuan dan memberikan sumbangan
samada tenaga, masa dan harta mereka kerana tidak ada rasa tanggungjawab dan
pengorbanan yang ditimbulkan dalam diri masing-masing.
Manakala kekurangan tarbiah di peringkat pimpinan pula akan mewujudkan krisis
thiqah dan akhlak sehingga pemimpin itu tidak mampu menjadi teladan kepada
ahli-ahli bahkan akan menyebabkan persatuan tidak mampu mencapai objektifnya
kerana program yang dilaksanakan ibarat melepaskan batuk di tangga.Marilah kita
renungi bersama-sama ungkapan Sheikhul Islam Said Hawwa “ Sesungguhnya Umat
Islam pada hari ini perlu dihidupkan kembali dua perkara yang penting yang
menjadi sumber kekuatan , Thaqafah dan Tarbiah ”
Oleh yang demikian, selain daripada memberi kebajikan kepada ahli, Keluarga
Pelajar-pelajar Perlis akan memberi penekanan dari sudut tarbiah kerana kekuatan
tarbiahlah yang akan melahirkan kekuatan yang sebenarnya.Melalui tarbiahlah kita
akan melahirkan kekuatan Ruhani sebagai benteng mendepani cabaran sekaligus
sukar diganggu-gugat oleh sebarang ancaman.
Dalam melaksanakan tarbiah sudah semestinya ia perlu bersifat menyeluruh tanpa
mengira peringkat. Oleh itu, pembentukan dan perlaksanaan manhaj tarbiah amat
perlu diberi penekanan yang serius kerana mad’u yang dihadapi adalah pelbagai
dan tidak sama tahap penerimaan dan pemikiran mereka.Manhaj tarbiah hendaklah
berbeza-beza dan berperingkat-peringkat sesuai dengan setiap golongan sasaran
tarbiah.
Bertepatan dengan perkara tersebut, pelbagai program-program dirangka bagi
melaksanakan bagi tujuan tersebut.Ini boleh dilihat melalui Program Pemantapan
Duat ( NPD ) yang dianjurkan oleh PMRAM, Ijtima Fikri Night ( IFIN ) yang
menjadi medan muhasabah di antara pimpinan dan ahli seterusnya pembahagian
kepada kelompok-kelompok kecil untuk perjalanan tarbiah yang lebih berkesan di
dalam kumpulan usrah atau lebih dikenali sebagai Muzakarah Berkelompok.
Akhirnya, kita perlu menjana swadaya diri yang tinggi bagi memantapkan proses
pentarbiyahan.Qiyamulail, puasa sunat, bacaan Al Quran dan Ma’thurat serta
ibadat-ibadat nawafil yang berterusan merupakan antara perkara-perkara yang
perlu dirancakkan.Sesungguhnya pembentukan generasi tarbawi adalah menjadi
aspirasi masyarakat Madani ke arah wawasan Ukhrawi pasti tidak akan dapat
menjadi realiti tanpa sokongan dan penglibatan daripada semua ahli.
3.0 KESEPADUAN ILMU DAN KECERMELANGAN PENGAJIAN
Abul Hassan An Nadawi pernah menyebut : “ Sesungguhnya dunia Islam hari ini
ingin mengembalikan kegemilangannya masa silam, kepimpinan terbilang dan
pemerintahan adil dijulang sekaligus membuktikan kebesaran janji Ar Rahman,
sesungguhnya ia menuntut kehadiran dan kewujudan pemimpin berilmu dan
kerwawasan”.
Ternyata harapan dan impian yang tinggi untuk menyaksikan kegemilangan Islam
kembali terserlah menebarkan nursayapnya menenggelamkan zulumatjahiliyah
daripada singgahsana keunggulan. Pun begitu kehendak itu begitu memerlukan
lahirnya satu generasi berwawasan dan berswadaya yang berupaya memimpin dengan
daya ilmu yang utuh.Maka dengan itu, tuntutan mempersiapkan diri dengan agenda
keilmuan perlu menggemblengkan kekeuatan bersama bagi mengembalikan ruh keilmuan
dalam diri masing-masing.
Hal demikian perlu dihidupkan semula ianya sebelum membiak lebih membarah.
Serangan sekularisme dalam dunia ilmu perlu dihadapi dengan penuh waspada.Tidak
ketinggalan, pengasingan jurusan kita kepada bidang Syariah dan Usuluddin
misalnya seakan-akan membunuh langsung saraf keinginan untuk mendalami bidang
lughah dan lainya, apatah lagi untuk berbicara tentang ilmu fizik, astronomi,
biologi dan banyak lagi.Natijahnya nama-nama mukhtabar seperti bn Khaldun, Ibn
Sina, Al Khawarizmi, Abu Zakaria Ar Razi, Ibn Haitham
dan ramai lagi tokoh ilmuan terbilang hanya sekadar menghiasi muzium kebanggaan.
Jelas agenda kita adalah untuk menyemarakkan bara semangat ke arah penguasaan
ilmu yang lebih luas dan pelbagai. Bukan setakat keluasaan yang dimatlamatkan,
malah kita cuba untuk menekankan peri pentingnya khazanah ilmu yang dicarigali
itu disepadukan bagi membentuk kejituan dan ketrampilan syaksiah
ilmuan.Kesedaran sedemikian perlu ditimbulkan oleh semua pihak samada ikhwah
mahupun akhawat, ahli dan pimpinan dalam usaha memantapkan penguasaannya akan
memberi nafas baru dalam menampilkan upaya Azhariyin mengembangkannya dalam arus
perdana ini. Sesungguhnya kewujudan Institut Bina Insan (INSANI), Madrasah Said
Hawwa ( MADAH ) di bawah Unit Dakwah dan Ilmiah ( UDI ) adalah di antara
platform yang cuba dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan di atas. Oleh yang
demikian, kita perlu bersama-sama menyatakan kesetiaan dan kesanggupan kita
dengan menghadiri program-program yang dianjurkan dan memberikan sumbangan dalam
apa jua bidang samada penulisan, beroganisasi dan seumpamanya bagi dalam usaha
untuk mewujudkan konsep ta’aun di antara satu sama lain dalam menjayakan tema
yang digariskan.
Meneliti kepada pencapaian akademik semasa, kita sebenarnya terpanggil untuk
menjadikan agenda perbincangan secara serius. Peratus kelulusan secara
keseluruhan masih terlalu jauh daripada gapaian kecermelangan. Kita tidak
menafikan tentang kesukaran dan pengajian di sini. Namun, adakah kita sudah
mengemblengkan kekuatan potensi yang ada sepenuhnya ? persoalan ini perlu
difikirkan bersama mudah-mudahan ianya menjadi motivasi untuk memperbaiki
kelemahan yang ada dalam usaha mencapai kecermelangan pada masa akan datang
dnegan jayanya. Justeru, kita berasa begitu perlu untuk meletakkan matlamat
tanpa kegagalan dalam setiap imtihan samada di Kaherah mahupun Kaherah. Lebih
dariapda itu kita juga berharap agar ada dari kalangan ahli yang mampu mencacat
kejayaan yang terbaik di kalangan Mahasiswa-mahasiswi Azhariyin di sini, malah
ada yang mampu meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor
Falsafah.Akan tetapi apalah ertinya gagasan dan harapan sekiranya jentera kita
masih hambar dan kelam ! Ayuh, gemblengkan kekuatan kalin demi mempamerkan imej
sebenar Islam yang gilang-gemilang.
Matlamat kesepaduan ilmua yang digariskan menuntut kita untuk meneroka bidang
ilmu yang cukup luas merangkumi ilmu computer, sains dan teknologi serta yang
selainnya disamping memantapkan penguasaan ilmu teras dinniah yang kita tuntut
bersama. Asas keberkesanan melalui pembacaan, penyelidikan dan pengkajian juga
perlu dirangsang sehebat mungkin demi memastikan ruh imu itu benar-benar hidup
dan dapat menyuntik nafas baru ke arah mewujudkan biah ilmiah soleheh. Disinilah
asset kekuatan yang besar impaknya bagi melangkaui bahtera cabaran yang cukup
memeritkan.
4.0 KEMANTAPAN UKHUWWAH DAN KEMULIAAN AKHLAK
Kemantapan Ukhuwwah yang telah dibina oleh Muhajirin dan Ansar ketika mana
mereka ditaakhikan oleh Rasulallah SAW di Kota Madinah, boleh dijadikan panduan
untuk sama-sama kita bina Noktah Bidayah dalam melestarikan ikatan Ukhuwwah di
antara ahli dan pimpinan dalam Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP ). Semangat
setiakawan yang cuba dilaksanakan adalah tujuan untuk membina kesatuan fikrah
dan sudah pasti kesatuan dalam apa jua aspek akan terhasil jika kita sama-sama
memahami konsep ukhuwwah Fillah yang dicanangkan oleh Keluarga Pelajar-pelajar
Perlis ( KPP ).
Bertitik-tolak daripada perkara tersebut, hubungan kemesraan Fillah dapat
diterapkan di antara ahli dan pimpinan, maka munculah sebuah masyarakat yang
berinovatif, kreatif dan berwawasan.Ikatan ukhuwwah yang mantap juga akan
menghapuskan prasangka buruk di kalangan kita. Sikap tegur-menegur,
tolong-menolong dan nasihat-menasihati perlu diwujudkan bersama agar tiada
dendan-mendendami yang membawa kepada keretakan hubungan yang kian lama
terbina.Yang muda menghormati yang tua, yang tua mengasihi yang muda.Jika konsep
sedemikian dapat diteruskan dari semasa ke semasa, nescaya ikatan ukhuwwah di
kalangan kita akan bersimpul padu umpama isi dan kuku.
Bertepatan dengan Firman Allah SWT :
انما المؤمنون اخوة , فأصلحوا بين اخويكم
“ Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, maka perelokkanlah hubungan di
antara mereka”
Ikhwah dan Akhawat sekalian
Penampilan akhlak yang mulia oleh golongan Azhari akan membawa sinar gemilang
terhadap perkembangan Islam.Sesungguhnya masyarakat di tanah air menilai serta
memerhati setiap langkah dan gerak-geri mahasiswa dan mahasiswi Al Azhar yang
dipandang tinggi imejnya berbanding dengan mahasiswa dan mahasiswi
tempatan.Perkara sedemikian perlu disedari, agar kita dapat bersedia daripada
sekarang untuk membentuk akhlak yang terbaik di kalangan Azhari dan seterusnya
menampilkan kepada masyarakat Malaysia ketika pulang suatu hari nanti.Selaku
umat Rasulallah SAW, kita perlu memahami sabdaNya ;
انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
“ Sesungguhnya Aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak “
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik sebagai ikutan umatNya masa
kini.Tetapi agak malang sekali, qudwah tersebut dipandang enteng oleh
pemuda-pemudi Islam terutamanya dan ini menyebabkan berlakunya penyakit-penyakit
sosial yang melanda mereka saban hari.Pemuda-pemudi adalah aset yang bernilai
kepada negara suatu ketika nanti.Selaku mahasiswa dan mahasiswi Azhari, peranan
kita amat besar dalam usaha mengembalikan dan membina kemuliaan akhlak di
kalangan Azhari sendiri mahupun masyarakat Malaysia supaya kita semua melepaskan
diri daripada kepompong Jahiliah yang kembali menular sedikit demi sedikit ke
dalam jiwa-jiwa yang bernilai di sisi Allah SWT.
5.0 SOKONGAN KEPADA PMRAM
Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) adalah salah sebuah Badan Kebajikan
Anak-anak Negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (
PMRAM ) akan terus memberikan komitmen padu dan istiqomah dengan perjuangan
PMRAM kerana kewujudannya beerti kewujudan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP
).Tanpa PMRAM siapalah kita! Usianya yang mencecah 71 tahun selaku badan induk
pelajar Malaysia di Mesir, walaupun mutakhir ini memperlihatkan peranannya
sebagai badan induk cuba dipadamkan, di samping komitmen segelintir anggotanya
yang semakin goyah namun kita sebagai ahli Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP
) perlu membuktikan kebersamaan dalam apa jua keadaan demi kesinambungan
perjuangan generasi akan datang.
Kenyataan kita bersama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) bukan
hanya sekadar mengisi borang atau mendapat kad keahlian tetapi meliputi curahan
idea dan sumbangan tenaga serta kesanggupan untuk bersama-sama untuk
mempertahankannya. Perlu disedari, terjejasnya hubungan kita dengan PMRAM juga
akan menjejaskan hubungan dengan Badan Kebajikan Anak-anak Negeri yang lain.
Kita tidak mahu melihat Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) dan ahli-ahlinya
dalam kepompong kenegerian akibat terpinggir daripada negeri-negeri yang lain.
Semangat kenegerian merupakan racun yang pernah meragut nyawa Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir
( PMRAM ) suatu ketika dahulu. Kita berusaha membina generasi Keluarga
Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) yang benar-benar mantap dalam memberikan sokongan
serta menghasilkan gerak kerja berkualiti kearah kecemerlangan Keluarga
Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) itu sendiri, mahupun keizzahan Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir (PMRAM)
Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah.
Langkah bagi mempertahankan keizzahan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (
PMRAM) sebagai satu usaha untuk mentranformasikan keadaan diri dan jiwa kita
merupakan satu fomula untuk mengembalikan keizzahan Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir ( PMRAM ). Transformasi merupakan kata kunci utama yang menagih
pengorbanan dan pengertian yang mendalam dari semua peringkat dan lapisan
masyarakat Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) itu sendiri. Sikap pemikiran
yang negatif dan prasangka buruk terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
( PMRAM ) merupakan satu fenomena yang menular di kalangan ahli kita. Sewajarnya
kita perlu sensitif di dalam memelihara keperibadian Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir ( PMRAM ) selaku badan induk yang sama-sama kita memberikan keyakinan
yang tinggi dapat menjaga kebajikan, keselamatan dan pengajian pelajar Malaysia
di Republik Arab Mesir ini.
6.0 KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN ASAS PERPADUAN
Penubuhan Keluarga pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) bukan sahaja ditubuhkan atas
dasar penyatuan suara anak-anak Perlis di Perlembahan Nil ini, malah ianya juga
berperanan untuk menjaga dan menjamin kebajikan mereka disini.Keluarga
Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) menjadi pengantara hubungan di antara Mahasiswa
dan mahasiswi Perlis di Mesir dengan Kerajaan Negeri Perlis dalam menyalurkan
sebarang bentuk bantuan yang diberikan.Oleh hal demikian tidak dapat dinafikan
bahawa peranan besar yang dimainkan oleh Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP )
dalam menjaga mashlahat anak-anak Perlis di sini.
Bertepatan dengan perkara tersebut, setiap tahun anak-anak Perlis di Mesir
mendapat bantuan zakat melalui Baitulmal Negeri Perlis.Agenda kebajikan ini
berterusan lagi apabila wujudnya Yayasan Pembangunan I’thisad ( YPIIM ) yang
bertujuan untuk membantu kewangan pembelajaran anak-anak Malaysia khususnya
anak-anak Perlis di Mesir.Semoga usaha yang dilakukan ini mendapat ganjaran
setimpal daripada Allah SWT.
Jika disorot kembali kepada usul yang dibawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT)
kali ke 26, “ KPP perlu mewujudkan Tabung Takaful Ahli sebagai kelangsungan
agenda kebajikan ”.Maka bermula pada sesi ini, institusi Tabung Takaful Ahli (
TATA ) di bawah Unit Kebajikan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) akan
digerakkan bagi merealisasikan hasrat tersebut.Institusi ini cuba mewujudkan Ruh
Infaq, Tabarru’ dan tolong-menolong di antara satu sama lain bagi menyelesaikan
masalah yang berlaku di kalangan ahli mahupun pimpinan.Oleh yang demikian, kita
perlu sama-sama memahami dengan sebaik-baiknya peranan dan fungsi Tabung Takaful
Ahli ( TATA ) bagi sama-sama merealisasikan agenda kebajikan bermula pada sesi
ini dan sesi-sesi akan datang.
Ikhwah dan Akhawat sekalian
Pada sesi ini, Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) dita’akhikan dengan
Terengganu, Dewan Perwakilan Tanta dan Asrama Rumah Melayu Abbasiah ( ARMA )
sebagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah kenegerian yang melanda masyarakat
Azhari pada hari ini.Usaha yang dilakukan oleh pihak Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir ( PMRAM ) perlu didokongi bersama agar masalah tersebut akan dapat
diselesaikan.
Sesungguhnya umat Islam kini dilanda krisis kesatuan yang menyebabkan
ketidakseragaman dalam gerak-kerja mahupun tindakan bersama.Krisis sedemikianlah
yang menyebabkan umat Islam berbalah sesama sendiri sepertimana yang berlaku di
Afghanistan, Palestin, Pakistan dan Chechnya.Perancangan yang dilakukan oleh
pihak Kuffar ini melalui perancangan yang rapi untuk merosakkan kesatuan umat
Islam sedunia yang telah terbina semenjak zaman Rasulallah SAW dan sebelum
kejatuhan Empayar Uthmaniah.
Jueteru, peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam pada hari ini
perlu diambil pengiktibaran semoga kita mampu menangani bersama mehnah dan
cabaran yang dihadapi.Krisis tersebut tidak akan terlerai jika masih ada lagi
individu-individu yang masih lagi berpegang kepada ketaasuban sesuatu bangsa,
puak dan seumpamanya.
7.0 TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Ledakan modenisasi yang berlaku ke atas dunia masa kini menggamit ummah selari
dengannya bagi menyelamatkan dunia daripada terus dikongkong dengan era
pembangunan secara pesat membangun. Umat Islam perlu menguasai jaringan
teknologi maklumat agar ianya dapat dikawal mengikut lunas-lunas yang telah
ditetapkan oleh syara’.Perkara sedemikian sukar dikuasai tanpa ada daya usaha
yang tinggi di kalangan kita pada hari ini.Ketamadunan dalah salah satu cara
untuk menilai tahap pemikiran sesuatu bangsa mahupun kaum.Ini telah dibuktikan
oleh kaum Ad dan Thamud yang tinggi nilai ketamadunan dengan upaya memahat bukit
untuk dijadikan istana pemerintah di zamanya.
Kalau ditinjau ke tanah air, perkembangan jaringan maklumat kian pesat dari
semasa ke semasa.Hal demikian menjadi cabaran kepada kita selaku Azhari untuk
sama-sama menceburi bidang tersebut agar kita tidak kekok dan kaku ketikamana
pulang ke tanah air nanti, bagi menyahut wawasan 2020 yang dicanangkan oleh
pemimpin negara pada masa kini.
Ledakan-ledakan modenisasi yang berlaku ini bukan sahaja memperlihatkan kepada
dunia bahawa manusia mampu berfikir dan menghasilkan sesuatu yang terbaik,
malahan perkara tersebut sebenarnya menguji sejauhmanakah keimanan mereka kepada
Allah SWT di atas nikmat pemberiannya. Natijahnya anjakan ketamadunan ini
memberikan impak yang besar kepada generasi kini dan masa hadapan samada positif
atau sebaliknya.
Sejajar dengan perkara tersebut, Malaysian Silicon Valley ( MASSIVE ) yang
dilancarkan baru-baru ini adalah bertujuan untuk mewujudkan kerjasama yang padu
di kalangan pelajar Malaysia di Mesir bagi meningkatkan keupayaan masing-masing
dalam menguasai teknologi maklumat dan Komunikasi ( ICT ) sepanjang tempoh
pengajian melalui rangkain internet dan komunikasi yang akan dibina.Selain itu,
MASSIVE juga bertujuan untuk memaksimumkan aplikasi multimedia dalam segenap
aspek kehidupan pelajar terutamanya yang melibatkan maslahat pengajian dan
persatuan agar insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan di sini lebih
berkualiti, berketrampilan dan berwibawa.
Akhirnya, gagasan sedemikian tiada gunanya jika kesedaran dan swadaya diri yang
tinggi tidak diletakkan dalam diri masing-masing.Ayuh ! gemblengkan kekuatan
bersama untuk mewujudkan rangkaian kesepaduan dalam menguasai jaringan
komunikasi yang berlaku dalam alaf millineum ini untuk merubah dan mengislah
mentaliti masyarakat supaya lebih berpegang dengan syariat Allah SWT supaya
tidak dirosakkan dengan suasana modenisasi yang pesat di tanah air.
8.0 MUSLIMAH NADI PERADABAN UMMAH
ان الله يحب الدين يقاتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيان مرصوص
Maksudnya ; “ Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang pada jalan Allah
dalam satu sof ( barisan ) umpama satu binaan yang tersusun ”
Mahasiswi sebagai tenaga penggerak yang penting dalam usaha membangunkan ummah
di samping berperanan sebagai isteri dan ibu berwawasan lagi bersyariat. Sebagai
sayap kiri perjuangan, kita perlu mengisi agenda ini melalui persiapan yang
rapi, malah dituntut untuk menguasainya dengan lebih menyeluruh supaya dapat
diterjemahkan ke dalam kehidupan pada masa kini dan akan datang.
Justeru, kejituan dan keperihatinan dalam pelbagai aspek, baik dari segi
pencapaian akademik, penampilan syakHsiah dan jatidiri mahupun kemahiran dalam
teknologi maklumat jua merangsang semangat serikadi demi kecemerlangan ummah
sejagat.
Menyederi hakikat ini, Keluarga Pelajar-pelajar Perlis ( KPP ) telah menyediakan
sebuah rumah khusus untuk kegiatan Hal Ehwal Wanita Keluarga Pelajar-pelajar
Perlis ( KPP ). Namun sejauh manakah kemudahan ini mampu dimanfaatkan tanpa
kebersamaan ahli untuk menggerakkan program-program yang dirancang oleh Hal
Ehwal Wanita ( HEWI ) sekian lamaya.Pengemblengan tenaga, masa dan juga wang
ringgit perlu dititik beratkan bersama agar mahasiswi Keluarga Pelajar-pelajar
Perlis ( KPP ) mampu bersaing di persada antarabangsa.
Tuntasnya, peranan perlu dimainkan oleh setiap individu untuk melengkapkan diri
dengan agenda keilmuan supaya mampu merubah pemikiran masyarakat Malaysia ke
arah yang lebih bertamadun mengikut landasan yang telah dijelaskan oleh
syarak.Pastinya perubahan tersebut tidak mampu dilakukan jika tiada persediaan
yang mantap secara menyeluruh merangkupi aspek spiritual, mental dan fizikal.
9.0 PENUTUP
Pada alaf millinuem ini, kita seharusnya bersama-sama memikirkan betapa
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir ( PMRAM ) dan Keluarga Pelajar-pelajar
Perlis ( KPP ) yang tetap teguh dengan pasak kebenaran dasar dan matlamatnya,
akan dipastikan dapat terus melangkah gagah dalam mendepani apa jua rintangan
yang mendatang.Kita optimis bahawa generasi yang akan mewarisi panji-panji suci
ini, akan bersiap siaga pada setiap detik dan ketika tanpa memberikan ruang
kepada sindrom malas dan suka bertangguh-tangguh daripada terus menyelinap ke
dalam diri masing-masing.
Namun harus diingat, generasi pewaris itu adalh kita dan kita yang akan ditimpa
kehinaan sekiranya mengabaikan tuntutan ini dan kita akan meraikan Redha Allah
swt andai digunakan segenap kekuatan yang termilik di atas jalan ini.
Ayuh ! setiap agenda yang digariskan menuntut sepenuh perhatian, pengorbanan dan
pembuktian pada nam sebuag keikhlasan tunduk dan patuh kepada Ar Rahman.Marilah
sama-sama kita mengemblengkan kekuatan bersama bagi menjayakan tema “ BERSAMA
MENJAYAKAN VISI ” pada sesi 2001/2002
Semoga perkumpulan kita pada hari ini akan sentiasa berada di bawah rahmat Ilahi
dan mengukuhkan Rabitah di antara kita dalam mendepani cabaran dan halangan yang
pasti dihadapkan kepada kita.
Sekian, Wassalam
MUHAMMAD AZMIR BIN AZIZAN
Yang DiPertua
Keluaga Pelajar-pelajar Perlis
Sesi 2001/2002